Jom Follow!

Sunday 22 January 2012

hukum wanita menyanyi atau bernasyid di depan lelaki

Menjadi lumrah manusia memiliki jiwa seni yang sangat meminati muzik dan nyanyian sebagai satu media untuk menghiburkan hati ,melepaskan lelah bahkan menghilangkan tekanan jiwa.


Lebih-lebih lagi muda mudi juga amat meminati muzik dan lagu. Walau bagaimanapun, akhir-akhir ini ,atas kesedaran Islam muda-mudi Islam mengalihkan minat itu kepada dendangan lagu-lagu nasyid yang liriknya membawa kepada kebaikan dan kesedaran agama.

Tidak dapat dinafikan, banyak juga nasyid-nasyid ini yang dilihat menyimpang dari landasan asal lalu sifat komersialnya melebihi nasihatnya. Liriknya yang asalnya membawa kepada nasihat agama mulai bertukar kepada puja-puji wanita dan kekasih. Bezanya dengan lagu pop rock, biasa hanyalah kerana ia diadun sedikit dengan menyebut nama-nama Allah sekali sekala, kalimah Islam atau apa-apa elemen Islam.
Untuk menjawab persoalan ini kita perlu meneliti persoalan pokok yang menjadi asas perbincangan ulama’ iaitu persoalan hukum suara wanita, adakah aurat atau tidak aurat.


Sebenarnya suara wanita kalau mengikut Ulama’ Muktabar termasuk Al Imam An Nawawi, ianya tidak aurat.
Maksudnya di sini kebanyakan ulama’ mengatakan suara wanita dalam percakapan biasa dihadapan lelaki bukan mahramnya tidaklah aurat. Namun begitu, ada juga yang menyatakan aurat .
Yang menjadi persoalannya di sini ialah suara wanita yang dilunak-lunakkan seperti dalam nyanyian,nasyid atau percakapan yang dilunakkan, adakah ia aurat atau bukan aurat, harus atau haram.
Di sana terdapat dua pendapat ulama’.
Pendapat pertama dari Imam Al Suddi, Ibnu Manzur, Ibnu Athir mengatakan ianya adalah aurat,yaitu apabila wanita menggunakan suara untuk menyanyi,bernasyid atau melunakkannya dihadapan lelaki bukan mahramnya.
                                          
Dalil mereka adalah berdasarkan firman Allah SWT yang memberi amaran kepada kita tentang suara wanita(bermaksud)

“Maka janganlah kamu wahai wanita, merendahkan (melunakkan) suaramu maka dibimbangi orang yang berpenyakit di hatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik (kandungan dan tatacaranya)" (Al-Ahzab : 32)

Para ulama tafsir menyebut, suara wanita yang dilagukan adalah termasuk dari kecantikan-kecantikan (yang tidak harus dipertonton dan diperdengarkan kepada lelaki bukan mahram) tiada khilaf dalam hal ini ( Adwa al-Bayan, 5/10 : At-Tashil Li Ulum At-Tanzil, 3/137 ; )
Imam As-Suddi berkata : Ini bermaksud kaum wanita tidak boleh melunakkan suaranya (lembut dan manja) apabila bercakap di hadapan khalayak lelaki.

Imam Qurtubi pula mengatakan, kerana suara yang sebegini akan menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat (Tafsir Ibn Kathir, 3/483 ; Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, 14/177)
Yang dilembutkan dengan sengaja, dimanjakan dan dimerdukan. Ianya adalah diharamkan untuk diperdengarkan kepada khalayak lelaki secara Ijma' selama-lamanya. ( An-Nihayah, Ibn Athir, 42/2 ; Lisan al-Arab, Ibn Manzur , 73/8 ; Hasiyah At-Tohawi ; 1/161)

Berdasarkan dalil ayat serta pendapat ualam yang dikemukakan ini, apa yang boleh saya fahami adalah nyanyian wanita juga tergolong dalam bab yang diharamkan oleh Islam apabila ia diperdengarkan kepada lelaki yang bukan mahram. Adapun jika ia dinyanyikan oleh kanak-kanak perempuan yang belum baligh atau ia dinyanyikan khas untuk para wanita,ia adalah dibenarkan.
Maka kumpulan penyanyi wanita hari ini termasuk di dalam kumpulan yang diharamkan Allah. Malah bukan sekadar ‘illah(alasan) suara sahaja yang boleh menjadikan mereka tercebur dalam perkara haram, malah pakaian dan pergerakkan mereka di khalayak awam juga.
Kebiasaannya apabila persembahan di buat, mereka kerap bersolek-solekan dengan pakaian yang canggih,ketat dan tudung juga tidak menutup dadanya dgn baik.

Di samping itu, duduk pula di atas pentas menjadi tontotan lelaki, jika para ulama semasa menghukumkan haramnya bersanding pengantin di atas pentas dalam keadaan senyap tanpa berkata-kata,apatah lagi penyanyi atau penasyid wanita yang bersolek adakala seperti pengantin ini dan melentuk-lentuk tubuh dan suaranya di hadapan lelaki bukan mahram, sudah tentu haramnya lebih besar. Dengan pakaian yang menjolok mata ditambah ketat, perkara ini menjadi suatu fitnah kepada umat Islam.

Selain itu juga, hukum memberi sokongan dan menaja penyanyi wanita adalah haram malah dilaknat Allah dan Rasulullah saw. Ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi: “Laknatlah penyanyi perempuan dan kepada siapa mereka perdengarkan nyanyian (pendengar)”.

Rasulullah juga menyatakan bahawa petanda kepada kiamat adalah berleluasanya penyanyi dan penari wanita yang tidak mempunyai perasan malu dan aib kepada lelaki.


Pendapat yang kedua pula mengatakan harus .
Ini adalah pandangan Dr. Yusuf Al Qardhawi dan Dr. Abdul Karim Zaidan di mana mereka berdua menyatakan harus wanita menyanyi di khalayak ramai asalkan mereka menjaga adab-adab iaitu menutup aurat dan tidak menggerakkan badan yang boleh mendatangkan fitnah.
Hujah mereka ialah Nabi saw pernah membiarkan hamba wanita menyanyi sedangkan pada masa itu Abu Bakar r.a menegur Aisyah dengan berkata, suara syaitan apa ini? Namun Nabi SAW membiarkan sahaja Aisyah menonton persembahan itu tanpa melarangnya. Ini menunjukkan Nabi SAW membenarkan wanita menyanyi dikhalayak lelaki.

Saya memetik pandangan seorang ulama’:
”Dalam konteks dakwah, ada ulama’ yang berpandangan tidak salahnya kalau dibenarkan wanita menyanyi di khalayak ramai.Kerana dibimbangi sekiranya kita terlalu ‘ketat’ dalam masalah begini maka ia akan merugikan Islam dan dakwah Islam sekaligus menjadikan Islam kelihatan bukan satu Ad Din yang meraikan naluri manusia dengan memandu naluri manusia mengikut acuan Islam.

Naluri manusia terutama anak muda ialah mereka mahukan hiburan. Jadi kita kena kemukakan bentuk hiburan mengikut acuan Islam. Jangan kita asyik bantah dan sekat program hiburan.

Kita hendaklah memandu bukannya menghukum. Kita kena bawa Islam kepada masyarakat mengikut kemampuan mereka dengan mengambil kira kelemahan umat di akhir zaman ini”.

Demikian pendapat seorang ulama’ kita.
Namun,apa yang penting hendaklah dijaga beberapa syarat , pertama mereka mesti menjaga adab-adab iaitu menutup aurat. Kedua tidak menggerakkan badan yang boleh mendatangkan fitnah. Ketiga tidak bersolek dan berpakaian sempurna seperti yang dituntut ke atas wanita muslimah.

Selain itu hendaklah dipastikan suasana majlis tiada percampuran antara lelaki dan perempuan bukan mahram.

Dan atas nama dakwah juga majlis/pertunjukan itu hendaklah digunakan untuk berdakwah kepada golongan yang hanya pergi majlis hiburan sahaja,tidak pergi masjid, surau dan majlis ilmu untuk mengaji ilmu agama, dengan menyelitkan sedikit tazkirah dan zikir kepada Allah dengan menyatakan kelebihan-kelebihannya kepada mereka . Peluang ini perlu digunakan sebaik mungkin untuk memberi kefahaman kepada mereka tentang Islam yang syumul. Dengan harapan mudah-mudahan akan terbuka hati mereka untuk mendekati Islam,mengkaji dan seterusnya menjadi orang soleh dan solehah serta meninggalkan maksiat pada satu hari nanti. 

Kesimpulannya ada 2 pendapat ulama’ tentang wanita yang menyanyikan atau bernasyid dikhalayak ramai. Satu pendapat mengatakan ia adalah suatu perkara haram . Manakala, pihak yang terlibat juga mendapat saham dosa.
Sementara ada pendapat ulama’ yang mengatakan ianya harus dengan memberi syarat2 yang ketat dalam pelaksanaannya dan hendaklah dipastikan ianya atas tujuan dakwah bukan dgn tujuan hiburan semata2.

Jadi kita boleh memilih mana satu pendapat yang kita suka, dengan melihat kepada kepentingan atau keadaan tertentu, tapi kena tanyalah pada iman kita jangan tanya pada selera kita.

WALLAHU A’LAM

Terima Kasih Kerana Membaca!!

No comments: